Tempatan Food Bank!

Beberapa ketika, kita seakan sudah berjaya melawan pandemik Covid-19 di Malaysia namun entah di mana silapnya, kes yang semakin meningkat secara mendadak telah menyebabkan kita dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0). Ekoran daripada itu, semakin ramai rakyat yang semakin terkesan dan kini di dalam kesusahan serta situasi yang amat memerlukan bantuan dan pertolongan untuk meneruskan hidup. Inilah yang kini berlaku dan sejujurnya tidak pernah kita terbayangkan sebelum ini.

Daripada situasi semasa inilah timbul idea di mana Food Bank telah mula dilaksanakan oleh orang ramai yang prihatin demi membantu jiran tetangga yang terkesan oleh pandemik Covid-19. Seperti yang kita tahu, ramai yang terkesan dek kerana kehilangan kerja atau dipotong gaji dan ramai yang tidak dapat menjalankan perniagaan kerana PKP3.0 ini dilaksanakan. Mereka tiada sumber pendapatan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa malah ada yang mengambil jalan singkat untuk mencabut nyawa sendiri akibat tidak dapat menahan tekanan yang terus menghimpit.

Mengambil kira hal-hal yang terjadi dan semakin membimbangkan, Tempatan Fest yang begitu sinonim dengan penganjuran acara berkaitan jenama tempatan sejak 2013 telah memulakan langkah prihatin dengan mewujudkan Tempatan Food Bank. Ini mengambil kira jaringan media sosial yang begitu meluas oleh Tempatan Fest dan dapat membantu memudahkan capaian orang ramai yang memerlukan bantuan mendapat maklumat serta lokasi Food Bank yang ada seterusnya meringankan beban yang mereka sedang hadapi pada ketika ini.

Tempatan Food Bank telah menyasarkan untuk menyediakan makanan kering asas seperti beras, minyak, tepung, kicap, telur, makanan bertin malah mungkin juga pampers kanak-kanak dan tuala wanita. Namun, jenis makanan mungkin berbeza di setiap kawasan bergantung kepada tahap kewangan pelaksana masing-masing kerana tiada sebarang dana yang diperolehi melainkan kewangan sendiri semata-mata yang dikumpulkan dikalangan rakan-rakan di dalam komuniti terbabit.

Pengasas Tempatan Fest, Seir Rashid memberitahu bahawa permulaan Tempatan Food Bank adalah hasil usaha bersama dengan Tita Kajang dan Skate Tua. Seterusnya Tempatan Food Bank berkembang ke Selangor, Melaka, Kuantan, Penang dan Alor Setar. Ini adalah hasil jaringan komuniti kreatif lokal yang telah menyahut idea pelaksanaan Tempatan Food Bank itu sendiri dan melaksanakan di tempat dan kawasan masing-masing. Ia tidak berakhir di situ.

Rakan-rakan komuniti kreatif dari seluruh pelusuk Malaysia telah bersatu dan mula turut serta membangunkan Tempatan Food Bank di sekitar komuniti mereka. Ini dapat dilihat apabila ia terus berkembang ke Dungun, Segamat, Seri Iskandar, Rembau, Kota Bharu malah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur juga turut dibangunkan beberapa lagi Tempatan Food Bank seperti di USj, Sepang dan Kota Damansara.

Kami di Kelipancare turut sama terpanggil menyertai jaringan Tempatan Food Bank dan melaksanakannya di sekitar Desaru, Johor. Usaha kecil ini dilihat sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang terkesan dan memerlukan dalam meneruskan kehidupan sehingga berakhirnya pandemik Covid-19 ini.

Untuk rekod, setakat hari ini sudah terdapat lebih kurang sebanyak 23 buah Tempatan Food Bank yang telah dibangunkan di seluruh Malaysia malah yang terbaharu adalah di Labuan, Sabah. Semoga lebih ramai lagi komuniti-komuniti tampil dan bersama-sama membantu sehingga tiada lagi mereka-mereka yang terpaksa berlapar dan mengikat perut kerana tidak mempunyai makanan. Manusia tidak seharusnya berlapar! Kudos Tempatan Food Bank!

 

Write by Med

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*