SOG, AJL36, #DemiQayyum

Sekumpulan Orang Gila akan mempertaruhkan lagu berhantu mereka bertajuk Pelukan Angkasa yang akan dipersembahkan bersama Shila Amzah di pentas final Anugerah Juara Lagu ke 36 (AJL36) pada malam ini. Seluruh sokongan warga peminat musik independent pastinya akan bertumpu kepada mereka yang sepertinya menjadi wakil kepada penggiat serta penggemar musik independent di Malaysia.

Lirik Pelukan Angkasa adalah hasil karya puitis Kak Fazleena Hishamuddin yang merupakan penulis buku best-selling Seksi Ovari & Bibir Ceri Melati, pemain teater dan penglipurlara bersama kugiran Fazleena & The Lasykar. Crayzay! dan lagu sepenuhnya dicipta oleh Abang (Raja Nazrin) bersama SOG.

Kejayaan mereka melangkah ke pentas final AJL36 adalah persis kejayaan kita semua penggiat muzik independent di Malaysia. Makanya, tiada yang mustahil walau kita bermula hanya dari bermain gig atau pentas kayu pallete sahaja. Rezeki itu tiada siapa yang tahu.. Teruslah bermimpi dan berusaha sebaiknya! Jalan terus.

Namun, dukacita tetap muncul dalam cerita gembira ini di mana bassist SOG iaitu Qayyum tidak dapat bersama untuk beraksi pada malam ini. Teka-teki ketiadaan kelibat Qayyum sewaktu sesi live di laman Instagram @wearesog semalam terjawab apabila Abang menjawab soalan oleh @kelipanstore yang bertanyakan mengenai keberadaan Qayyum. Menurut Abang, Qayyum telah didapati positif Covid-19 dan terpaksa kuarantin di rumah sejak kelmarin. Allahu… saat yang penuh bersejarah ini sepatutnya semua line up perlu ada bersama-sama lalui dan rai. Namun itulah kehidupan, kita hanya mampu merancang. Maka tiadalah kelibat bassist kegemaran ramai di pentas akhir AJL36 pada malam ini. Sedih, pilu dan hiba.

Adek selaku drummer SOG turut berkongsi sewaktu sesi live tersebut bahawa pada awalnya beliau tiada merasakan apa-apa tekanan mahupun keinginan malah menganggap persembahan malam ini adalah sama seperti persembahan di gig-gig atau konsert-konsert yang pernah mereka beraksi. Namun setelah Qayyum didapati positif Covid-19 dan tidak dapat bersama dengan SOG pada malam ini, Adek merasakan bahawa mereka perlu all out dan menggandakan semangat mereka dalam persembahan malam ini demi Qayyum! Malam ini segalanya adalah demi Qayyum!

Tiada apa yang mampu kita lakukan selain mendoakan Qayyum segera pulih dan tiada sebarang mudarat manakala SOG dipermudahkan segala urusan persembahan pada malam ini.

Menang atau kalah, bak kata Abang, SOG sudah juara apabila layak ke final AJL36. Salute!

Kitalah Juara! #DemiQayyum

 

Story: Med

Editor: QR

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*