#3OAG

#30OAG

Old Automatic Garbage atau lebih ngam untuk kita panggil dengan akronim OAG adalah salah satu pencetus arus muzik alternatif Malaysia pada era 90-an. Cerita bagaimana Andy Flop Poppy merekrut Radhi yang masih muda belia belasan tahun untuk menyertai band Flop Poppy sebagai vokalis dan merekodkan lagu Flop Poppies yang dimuatkan ke dalam kompilasi teragung iaitu “A Circle Of Friends – Malaysian Alternative Music” pun sudah menjadi seakan satu ketandaan bahawa sebuah kegilaan dan impak yang akan mewarnai dunia muzik Malaysia. Dan lagu Flop Poppies itulah yang telah dirakam semula oleh Radhi bersama OAG dan diberi tajuk – Knocked Silly! (Muzik Video hitam putih yang dirakamkan di rumah kongsi warga asing di sebuah tapak pembinaan sekitar KL). Boom!

Ini belum kita cerita betapa keramatnya lagu 60’s TV. Idea yang fresh dan tiada secatchy-nya pada waktu itu. Lantas dengan mudahnya merasuk seluruh jiwa anak muda di setiap pelosok negara sehingga ia menjadi lagu anthem, wajib di setiap kali persembahan. OAG itu 60’s Tv itu OAG itu Radhi itu OAG. Tiada siapa pun sekali-kali dapat menyangkal hakikat itu. Dari Radhi bersama Qi kepada Radhi-O seterusnya menjadi Radhionazalim, terus bersama Nizam di era Generasiku Gol & Gincu dan bersama anak-anak Aswara seketika sebelum kembali bersama Qi, Ammal dan Yin. Setiap fasa yang membawa bersama cerita suka duka telah gagah dilalui oleh Radhi dalam membawa nama OAG. Tidak pernah ke mana-mana atau berdiam durja malah sentiasa melahirkan peminat-peminat baru yang terus setia menyokong sekuatnya. 30 tahun tanpa henti. Non stop!

Benar bagai dikata, jus kreatif itu akan sentiasa membuak-buak. Kena cara dan jalannya bersama sedikit tuah, resipi pasti akan lazat sehingga menjilat jari. OAG se-gah namanya. Cukup sifatnya sebagai sebuah band. Ahli-ahlinya yang punya bakat yang berkilau walau sentiasa bersilih singgah dan pergi menyempurnakan OAG, menampung setiap lubang dengan kemas, sepenuhnya tidak berganjak walau diasak.

Sekitar tahun 2002, penulis masih ingat di asrama sekolah atas bukit Sungai Besi setia sabar menunggu di depan radio menanti lagu Slumber ke udara dan segera dubbing kaset untuk ulang dengar. Tidak dapat menahan jiwa yang meronta-ronta terus sahaja hujung minggu bergegas ke ibu kota untuk membeli CD di kedai auntie. 20 tahun sudah berlalu kisah itu. Spek alternatif bingkai hitam tebal menjadi kegilaan gara-gara OAG. Slumber Yaya, Slumber Wawa.. siapalah mereka itu ya? Dan ejaan asal selamba yang diubah kepada ‘slumber’ sudah menjadi tanda niaga kepada OAG dalam bekarya. Orang Asia Genius adalah salah satunya.

Kami di Kelipanstore turut berbangga kerana terlibat secara langsung sebagai Merchandise Official Partner sewaktu sambutan 25th Yeahniversary OAG pada tahun 2017. Full house di venue acara iaitu The Bee, Publika. Malah, kami turut berterima kasih kepada OAG yang sentiasa #supporto dan sudi turun perform sepanjang Kelipanstore menguruskan stage persembahan di setiap acara Tempatan Fest sedari 2013. Sentiasa sudi walau sekecil-kecil stage, akustik, solo, stage alas pallette sehinggalah ke stage yang sebesarnya penuh spotlight. Walau jauh di Ipoh, Iskandar Puteri, Danga Bay, Johor, Kuantan, Penang, Melaka, Negeri Sembilan, sebut sahaja, OAG pasti ON!

OAG selalu ramah dan mesra, merendah diri dan tidak peduli tentang status, malah sentiasa jalan terus! Ini mungkin sifirnya untuk kita terus relevan diterima peminat seutuhnya.

 

#30OAG

Kredit Gambar: Qi Razali

Untuk Ulang Tahun Ke-30 OAG, sekali lagi kami berterima kasih kepada Qi terutamanya sudi mempelawa kami untuk sekali lagi meriliskan merchandise istimewa “Snowball” sempena single OAG yang terdahulu. Mungkin masih ada kaset dan CD single Snowball dalam harta karun kami, siapa yang berminat boleh datang awal ke Stadium Malawati, Shah Alam nanti, cuba cari kami di sekitar OAGallery! Semoga anda yang bertuah! Stok limited.

 

#30OAG

Jadi, sempena #3OAG Konsert Generasiku pada 25 Disember 2022 nanti, OAG telah confirm menjemput kembalinya Naza & Alim untuk set Satelit Ink dan Andy Flop Poppy bersama Bakri untuk set Radhi-o Friendly. (Untuk yang belum tahu, seluruh lagu dalam album Radhi-O Friendly dimainkan sepenuhnya oleh Flop Poppy). Line-up asal untuk album pertama iaitu Ivan dan Lam masih menjadi misteri dan rahsia adakah mereka akan turut sama turun perform! Yang pasti Radhi, Ammal, Yin dan Qi adalah Core untuk seluruh persembahan OAG pada malam itu nanti.

 

#30OAG

Yang lebih gila, penganjur upgrade level konsert kepada festival apabila acara jualan booth, skate comp, persembahan band-band lokal seperti Late Night Frequency, Monotones, The Odyssey, Fourwalls, Mbex Firdaus & The Souljah dan Airinna Namara akan berlangsung bermula 10 pagi sehingga tamat. Malah ibu-ibu dan bapa-bapa jangan gundah-gulana, Child Care Centre turut disediakan. Ketika konsert berlangsung, anak-anak kita selamat di bawah jagaan mereka!

Jadi apa lagi geng, jom kita semua turun beramai-ramai untuk sama-sama melihat dan merasai kembali kenangan dahulu dan menjadi sebahagian daripada sejarah!

Segera dapatkan tiket di www.oagforever.com!

See you yeah!
Long Live OAG🤘🏽

 

Written by MED The Fanboi

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*